fb fb fb fb fb

26 orang terkorban akibat banjir di India

Foto AFP

KOLKATA, 20 September- Seorang ahli politik di timur India menyalahkan pihak berkuasa negeri jiran kerana menyebabkan banjir dengan membuka empangan, setelah 26 orang terkorban dan 250,000 yang lain terpaksa berpindah.

Ketua Menteri West Bengal, Mamata Banerjee berkata pihak berkuasa Jharkhand telah membuka pintu empangan sehingga menyebabkan negerinya dilanda banjir.

"Banjir ini disebabkan oleh perbuatan manusia. Saya juga telah mengarahkan agar sempadan dengan Jharkhand ditutup selama tiga hari sebagai tindak balas kepada keadaan ini," katanya kepada pemberita di sini.

Seorang pekerja kereta api, Pradip Maity, berkata kebanyakan penduduk di kampungnya di Ghatal, West Bengal, telah mencari perlindungan di kem bantuan.

"Bot kini merupakan satu-satunya cara pengangkutan di kampung ini," katanya.

Terdahulu, imej di televisyen menunjukkan pasukan penyelamat sedang memindahkan penduduk ke hospital selepas sebuah kampung dinaiki air.

Sementara itu, seorang anggota gabungan pemerintah di Jharkhand, Supriyo Bhattacharya, memberitahu AFP bahawa negerinya tidak mempunyai pilihan lain selain mengurangkan tekanan pada empangan.

"Menahan air boleh merosakkan empangan dan menyebabkan banjir besar di kedua-dua negeri. Pihak kerajaan kami semestinya akan melindungi kepentingan rakyat Jharkhand," katanya.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM