fb fb fb fb fb

22 maut dalam runtuhan dua bangunan di Fes, Maghribi

Foto AFP

FES,11 Disember – Dua bangunan runtuh lewat malam Selasa dan menyebabkan 22 orang maut serta 16 lagi cedera, menurut pihak berkuasa Maghribi.

Penduduk berkata bangunan itu sepatutnya hanya dibina dua tingkat, tetapi kedua-duanya mempunyai empat tingkat, dipercayai dibina tanpa kebenaran.

Seorang remaja, Bilal El Bachir, berkata dia mendengar bunyi kuat sebelum melihat debu tebal dan menyedari kedua-dua bangunan telah runtuh.

Beliau yakin tingkat tambahan dibina secara haram.

Pihak pendakwa raya berkata ketika kejadian, terdapat majlis keluarga di salah satu bangunan, manakala bangunan sebelahnya tidak berpenghuni.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar runtuhan.

Menjelang tengah hari Rabu, pasukan penyelamat mengesahkan operasi mencari mangsa telah selesai.

Penduduk lain berkata kawasan itu sepatutnya menjadi kawasan perumahan moden, tetapi banyak bangunan dibina tanpa mematuhi peraturan.

Laporan awal menunjukkan bangunan-bangunan tersebut dibina pada tahun 2006.

Gambar di lokasi menunjukkan pasukan penyelamat membawa keluar mayat dan menggunakan peralatan berat untuk mengalihkan runtuhan.

Mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Hospital Universiti Fes.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI