TUZ KHURMATU, 10 Disember – Sebahagian daripada jambatan utama yang menghubungkan Baghdad dan Kirkuk runtuh pada Rabu selepas daerah Tuz Khurmatu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat.
Pengarah Jabatan Jalan dan Jambatan Kirkuk, Ali Akbar berkata runtuhan itu berlaku apabila air banjir yang deras dan laju menghentam tiang sokongan jambatan, menyebabkan struktur itu tidak dapat menahan tekanan air.
Hujan lebat yang bermula pada Selasa mencetuskan banjir meluas di kawasan tersebut, menenggelamkan jalan raya, merosakkan kediaman dan menjejaskan laluan pengangkutan utama antara bandar-bandar penting Iraq.
Beberapa kawasan penduduk turut dilaporkan mengalami kerosakan infrastruktur akibat limpahan air.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang menilai tahap kerosakan sepenuhnya dan merancang langkah segera bagi membersihkan runtuhan serta memastikan laluan alternatif untuk pengangkutan dan logistik. -REUTERS