fb fb fb fb fb

210 terbunuh di kem Gaza akibat serangan rejim zionis

Rakyat Palestin memeriksa serpihan bangunan akibat serangan yang dilakukan Israel di kem Nuseirat/AFP

GAZA, 8 Jun- Sekurang-kurangnya 210 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas kem pelarian Gaza menurut pejabat media kerajaan yang dikendalikan Hamas.

"Jumlah mangsa pembunuhan beramai-ramai pendudukan Israel di kem Nuseirat telah meningkat kepada 210 orang dan lebih 400 cedera," kata pejabat media kerajaan dalam satu kenyataan.

Ia berlaku selepas tentera Israel menyelamatkan empat orang tebusannya di Nuseirat pada Sabtu.

Terdahulu tentera Israel dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu berkata, ia "menyasarkan infrastruktur pengganas di kawasan Nuseirat".

Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh berjanji untuk terus berjuang selepas serangan kejam yang dilakukan Israel ke atas kem tersebut.

"Rakyat kami tidak akan menyerah, dan kami akan terus berjuang mempertahankan hak kami dalam menghadapi musuh kejam ini," kata Haniyeh dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Hamas dalam satu kenyataan melaporkan kira-kira 94 orang terbunuh di sekitar Nuseirat dan ada juga mangsa yang dibawa ke hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah.

Bagaimanapun hospital itu tidak dapat menampung jumlah kematian dan individu yang cedera selain merayu masyarakat dunia dan organisasi bantuan untuk menghulurkan bantuan.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI