MAPUTO, 25 Disember – Sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk dua pegawai polis, terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir akibat keganasan pascapilihan raya di Mozambique.
Keganasan tercetus selepas mahkamah tertinggi negara itu mengesahkan kemenangan parti pemerintah Frelimo dalam pilihan raya presiden 9 Oktober lalu.
Ketegangan di negara itu sudah pun tercetus selama beberapa minggu yang lalu.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Pascoal Ronda, sebanyak 236 insiden keganasan serius telah dilaporkan di seluruh negara itu dengan 25 mangsa cedera, termasuk 13 anggota polis.
Beliau juga memaklumkan bahawa lebih 70 orang telah ditahan.
Kumpulan bersenjata dilaporkan menyerang balai polis, penjara, dan bangunan lain menggunakan senjata tajam dan api.
Di ibu kota Maputo, pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan dan polis.
Keadaan hospital kritikal
Pengarah Hospital Besar Maputo, Mouzinho Saide, berkata hospital juga beroperasi dalam keadaan kritikal dengan lebih 200 kakitangan tidak dapat hadir bertugas.
Seramai hampir 90 orang telah dimasukkan ke hospital, termasuk 40 mangsa tembakan dan empat mangsa serangan senjata tajam.
Kehidupan harian lumpuh
Kehidupan di Maputo hampir lumpuh, dengan kebanyakan penduduk memilih untuk berada di rumah.
Pengangkutan awam tidak beroperasi kecuali ambulans dan kenderaan jenazah.
Pasar raya termasuk kedai runcit kecil, ditutup, menyebabkan bekalan asas seperti petrol dan roti sukar diperolehi. Malah, beberapa bangunan telah dibakar.
Jalan-jalan utama disekat dengan halangan sementara.
Protes menggegarkan negara Afrika selatan itu sejak Daniel Chapo, calon parti pemerintah Frelimo yang memegang kuasa sejak 1975, diumumkan sebagai pemenang pilihan raya pada 9 Oktober lalu. - AFP