fb fb fb fb fb

21 maut dalam serangan terbaharu di wilayah Donetsk, Ukraine

(Orang ramai berjalan di kawasan yang rosak di dalam loji yang terbakar, berikutan
serangan Rusia ke atas Ukraine, di Kharkiv, 30 April 2022/REUTERS)

KIEV, 4 Mei - Seramai 21 orang awam maut manakala 27 yang lain cedera dalam serangan tentera Rusia pada Selasa di wilayah Donetsk timur Ukraine, jumlah kematian harian tertinggi dalam masa hampir sebulan.

Gabenor Dentesk Oblast, Pavlo Kyrylenko memaklumkan sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan 15 cedera susulan serangan terhadap loji kok di Avdiivka, antara loji terbesar di Eropah.

"Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan 15 cedera, akibat daripada tembakan loji kok di Avdiivka oleh Rusia," kata Kyrylenko menerusi catatan di Telegram.

Kok adalah bahan bakar dengan kandungan karbon yang tinggi. Ia merupakan produk perindustrian penting digunakan terutamanya dalam peleburan bijih besi tetapi boleh juga digunakan sebagai bahan bakar di dapur dan tempaan.

(Seorang wanita meninggalkan pangsapurinya diiringi pegawai polis untuk berpindah dariĀ bandar Lyman timur Ukraine,
yang telah menerima tembakan hebat pada 2 Mei 2022/AFP)

Kyrylenko juga berkata lima orang lagi terbunuh dalam serangan di bandar Lyman, empat di bandar Vugledar dan masing-masing seorang di perkampungan Velyka Novosilka dan Shandrygolove.

"Ini adalah angka kematian tertinggi sejak serangan Rusia di stesen kereta api di bandar Kramatorsk yang membunuh 59 orang kira-kira sebulan lalu," kata Kyrylenko.

Media Baharu