fb fb fb fb fb

Sasar 30% penglibatan wanita dalam kerjaya utama - PM Jepun

(Foto hiasan/AFP)

TOKYO, 27 April- Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengarahkan pentadbirannya supaya memulakan langkah untuk mempertingkatkan jumlah penglibatan eksekutif wanita dalam syarikat-syarikat utama negara kepada 30% atau lebih menjelang 2030.

Tahun lalu, golongan wanita hanya mewakili 11.4% daripada jumlah eksekutif dalam syarikat tersenarai utama Jepun, menurut tinjauan pejabat kabinet, walaupun angka itu telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Menjelang 2030, kami cuba berusaha untuk mencapai nisbah 30% penglibatan wanita atau lebih dalam syarikat tersenarai di pasaran utama Bursa Saham Tokyo,” kata Fumio Kishida kepada para pegawainya pada mesyuarat mengenai kesaksamaan jantina di sini.

Jelas Kishida usaha memastikan kepelbagaian bakal meningkatkan inovasi serta ekonomi negara.


(PM Jepun, Fumio Kishida ketika berucap pada Sidang Kemuncak
Perniagaan G7 di Tokyo pada 20 April lalu/Fail AFP)

Mesyuarat sama turut membincangkan kaedah bersesuian untuk menawarkan lebih banyak perjawatan tetap kepada wanita; kebanyakan mereka bekerja secara sambilan bagi memastikan keseimbangan antara kerjaya dan anak-anak.

Realitinya, Jepun kini berdepan cabaran untuk memperbaiki jurang jantina dalam jawatan utama atau kepimpinan, khususnya dalam politik dan di peringkat tinggi.

Negara itu juga sedang bergelut untuk memperbaiki jurang jantina dalam jawatan kepimpinan utama, terutama dalam kerjaya politik dan firma utama negara, serta jurang gaji antara pekerja lelaki dan wanita.

Pada 2022, negara matahari terbit itu berada pada kedudukan 116 daripada 146 negara daripada segi penglibatan wanita dalam bidang pekerjaan. -AFP

Media Baharu