fb fb fb fb fb

20 lagi terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Foto AFP

GAZA, 19 November- Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan trak bantuan di Gaza, semalam, menurut Kementerian Dalam Negeri Gaza.

Sumber dari Hospital Eropah di bandar Khan Yunis, selatan Gaza, memberitahu AFP bahawa mereka menerima 15 mayat pada hari kejadian.

Seorang lagi sumber Kementerian Dalam Negeri memaklumkan kepada AFP bahawa 20 orang terbunuh dalam serangan ke atas konvoi Program Makanan Sedunia yang membawa bantuan ke Gaza pada Sabtu lalu.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, dalam satu taklimat di New York menyatakan hanya 11 daripada 109 trak konvoi bantuan tersebut berjaya sampai ke gudang selepas melalui lintasan Kerem Shalom berhampiran sempadan Mesir.

Israel, yang mengenakan sekatan ketat ke atas Gaza sejak awal konflik Israel-Hamas tahun lalu, sering menyalahkan organisasi bantuan kerana didakwa tidak mampu menguruskan pengagihan bantuan dalam jumlah besar.

Pengagihan bantuan turut terganggu oleh kekurangan bahan api, kerosakan jalan, pertempuran di kawasan padat penduduk, dan perpindahan berulang kali oleh sebahagian besar 2.4 juta penduduk Gaza.

Satu laporan yang disokong PBB pada 9 November menyebut bahawa kebuluran semakin menghampiri kawasan utara Gaza di tengah-tengah peningkatan konflik dan hampir tiada bantuan makanan yang sampai ke kawasan itu. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM