fb fb fb fb fb

2 warga AS diculik di Mexico ditemukan mati, 2 masih hidup

MATAMOROS, 8 Mac- Dua warga Amerika Syarikat (AS) yang diculik oleh pengedar dadah Mexico ditemukan mati Selasa manakala dua lagi terselamat.

Washington berikrar untuk memastikan keadilan kepada mangsa yang terlibat dalam tragedi ini.

Mereka dilaporkan menyeberangi sempadan ke bandar Matamoros yang dilanda jenayah di negeri Tamaulipas pada hari Jumaat atas sebab perubatan.

Petunjuk awal mendapati penculikan itu bukannya serangan yang disasarkan, kata Peguam Negara Tamaulipas Irving Barrios kepada pemberita.

Kedua-dua mangsa yang terselamat telah dikembalikan ke AS melalui lintasan sempadan darat, kata pegawai.

Media AS menamakan mereka sebagai Latavia Washington McGee dan Eric James Williams.

Seorang mengalami luka tembak di kaki dan seorang lagi tidak cedera, menurut Gabenor Tamaulipas, Americo Villarreal.

Mangsa melawat Mexico kerana salah seorang daripada mereka merancang untuk menjalani pembedahan kosmetik, katanya.

Tidak jelas sama ada kedua-dua kematian itu berlaku sebelum atau semasa operasi menyelamat, tetapi Villarreal berkata siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa masih hidup sehingga sekurang-kurangnya Isnin.

Konvoi kira-kira 20 kenderaan termasuk ambulans mengambil bahagian dalam operasi
memindahkan dua daripada empat warga AS yang diculik kembali ke Brownsville di AS 
FOTO AFP

“Sepanjang tiga hari selepas perbuatan jenayah itu, empat orang yang dirampas kebebasan mereka dipindahkan ke pelbagai tempat termasuk sebuah klinik bagi menimbulkan kekeliruan dan mengelak usaha menyelamat,” katanya.

Mayat dua warga AS yang kehilangan nyawa dijangka dihantar pulang dalam beberapa jam selepas kajian forensik selesai di Mexico, tambah Villarreal. -AFP

Media Baharu