RAFAH, 26 Jun- Penutupan laluan Rafah iaitu sempadan antara Mesir dan Gaza telah menghalang sekurang-kurangnya 2,000 pesakit daripada dibawa keluar bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Demikian menurut seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggesa agar Rafah dan laluan lain dibuka semula.
Wakil WHO di Tebing Barat dan Gaza, Rik Peeperkorn berkata sebelum ia ditutup, kira-kira 50 pesakit kritikal dapat dipindahkan dari Gaza setiap hari.
Justeru sejak laluan Rafah ditutup pada Mei lalu, sekurang-kurangnya 2,000 orang tidak dapat keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Rafah merupakan laluan utama bagi pemindahan pesakit serta bantuan kemanusiaan di peringkat awal perang di Gaza.
Namun, ia ditutup apabila Israel melancarkan serangan ke atas bahagian selatan Gaza pada Mei lalu.
Pada minggu lalu, Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar telah mengadakan rundingan untuk membuka semula laluan itu dan meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Namun, Rafah masih ditutup kepada orang ramai.- REUTERS