fb fb fb fb fb

2,000 bangkai penguin muda 'berperut kosong' terdampar di Uruguay

(Bangkai penguin terdampar di pantai La Juanita, Maldonado, Uruguay/AFP)

MONTEVIDEO, 22 Julai- Kira-kira 2,000 ekor bangkai penguin jenis Magellan ditemukan terdampar di pantai timur Uruguay dalam tempoh 10 hari lalu.

Kematian haiwan itu masih menjadi misteri selepas pihak berkuasa mengesahkan ia bukan berpunca daripada selesema burung.

Ketua Jabatan Fauna, Kementerian Alam Sekitar, Carmen Leizagoyen berkata, kebanyakkan bangkai tersebut adalah penguin muda yang mati di Lautan Atlantik dan dibawa arus ke pantai Uruguay.

Beliau turut menegaskan bahawa semua sampel yang diambil telah diuji negatif untuk selesema burung.

"Ini adalah kematian di dalam air. 90% daripadanya adalah spesimen muda yang tiada lemak dan perut kosong.

"Wajar jika ada beberapa ekor yang mati, tetapi tidak sebanyak ini," katanya.

Aktivis alam sekitar pula mengaitkan peningkatan kematian penguin Magellan disebabkan penangkapan ikan secara berlebihan dan haram.

"Dari tahun 1990-an dan 2000-an kami mula melihat haiwan kekurangan makanan. Sumber itu dieksploitasi secara berlebihan," kata Richard Tesore, daripada NGO SOS Marine Wildlife Rescue, kepada AFP.

Siklon subtropika di Atlantik yang melanda tenggara Brazil pada pertengahan Julai berkemungkinan menyebabkan haiwan paling lemah mati akibat cuaca buruk, tambahnya. -AFP

(Bangkai penguin terdampar di pantai La Juanita, Maldonado, Uruguay/AFP)

Media Baharu