fb fb fb fb fb

19 maut dalam nahas bas di tengah Mexico

Foto: REUTERS

MEXICO, 27 Oktober- Sembilan belas orang maut dan enam lagi cedera apabila sebuah bas terbabas di lebuh raya di negeri tengah Mexico, Zacatecas semalam, kata pihak berkuasa tempatan.

Kemalangan itu berlaku pada awal pagi apabila bas yang membawa mangsa melanggar belakang sebuah treler traktor yang membawa jagung.

Gabenor Zacatecas, David Monreal awal semalam pada mulanya melaporkan angka kematian awal seramai 24 orang, namun pejabat peguam negeri kemudian menyemak jumlah itu dalam satu kenyataan.

Pejabat peguam negara berkata ia "menjalankan siasatan untuk menahan pemandu" treler traktor itu.

Usaha sedang dijalankan pagi semalam untuk mendapatkan semula beberapa mayat yang telah jatuh ke dalam gaung, kata seorang pegawai kerajaan tempatan yang enggan namanya didedahkan kepada Reuters.

Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan pasukan penyelamat termasuk anggota tentera, mengawal kawasan itu manakala penyelamat berusaha mendapatkan mayat.

Ketika kemalangan berlaku bas itu sedang menuju ke Ciudad Juarez, sebuah bandar di sempadan AS-Mexico di negeri Chihuahua.

Mangsa tidak termasuk migran, menurut pejabat peguam negara.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI