fb fb fb fb fb

180 wanita lahirkan anak setiap hari di Gaza di tengah sekatan Israel - PRCS

Foto AFP

ANKARA, 14 Januari - Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) pada Sabtu berkata 180 wanita melahirkan anak setiap hari di Gaza dalam keadaan "berbahaya" dan "tidak berperikemanusiaan" disebabkan serangan dan pendudukan Israel.

“Ramai daripada mereka tidak dapat sampai ke hospital kerana berada di kawasan terkepung, dengan tentera Israel menghalang ambulans daripada sampai ke mereka,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Memetik laporan agensi berita Anadolu, wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) untuk Palestin, Dominic Allen, dalam sidang akhbar maya pada Sabtu dari Baitulmaqdis berkata 18,000 kelahiran berlaku di Gaza dalam tempoh 100 hari yang lalu.

Beliau menyatakan bahawa UNFPA tidak dapat menyediakan bekalan yang mencukupi dan keadaan di hospital adalah teruk.

Allen menekankan bahawa 5,500 wanita dijangka melahirkan anak dalam beberapa bulan akan datang dan beliau melahirkan kebimbangan terhadap perjuangan mereka dengan kekurangan air, kekurangan makanan dan akses terhad kepada rawatan.

UNFPA mengumumkan pada 17 Disember tahun lalu bahawa 45,000 wanita hamil dan 68,000 yang menyusukan bayi di Gaza berisiko mendapat anemia, pendarahan dan juga kematian.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qudra, dalam satu kenyataan pada 1 Januari lalu berkata disebabkan tidak memenuhi keperluan 50,000 wanita hamil di pusat-pusat pemindahan yang menampung mereka akibat serangan di Semenanjung Gaza, pesakit menghadapi masalah pemakanan dan kesihatan yang tidak mencukupi.

Al-Qudra mendesak agensi-agensi berkaitan PBB untuk campur tangan bagi menyelamatkan kanak-kanak dan wanita hamil daripada situasi itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN