fb fb fb fb fb

17 maut letupan bangunan pejabat Bangladesh

(Seorang lelaki cedera dikejarkan ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka berikutan letupan di dalam
bangunan pejabat di Dhaka pada 7 Mac 2023/AFP)

DHAKA, 8 Mac- Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera di ibu negara Bangladesh selepas letupan berlaku di dalam bangunan pejabat di daerah komersial yang sibuk pada Selasa.

Letupan menggegarkan bangunan tujuh tingkat di Gulistan, hab utama bagi barangan borong di Dhaka, sejurus sebelum pukul 5.00 petang (waktu tempatan).

Pengarah Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Nazmul Islam memberitahu AFP, lebih 112 orang dikejarkan ke hospital berkenaan, dengan ratusan doktor dan jururawat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

"Kecederaan yang dialami mangsa menunjukkan ia adalah letupan yang besar," katanya.

Nazmul berkata, sebilangan mangsa juga terpaksa dihantar ke hospital di bandar berdekatan bagi menampung kepadatan pesakit di hospital itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Dhaka, Khandaker Golam Faruq berkata, pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut sama ada ia sabotaj atau kemalangan.

"Unit pelupusan bom turut dihantar ke lokasi kejadian," kata jurucakap tentera, Rashedul Alam.

Kebakaran dan letupan bangunan yang membawa maut merupakan perkara biasa di Bangladesh disebabkan penguatkuasaan keselamatan yang lemah.

Sabtu lalu, letupan berlaku di loji oksigen berhampiran bandar pelabuhan selatan Chittagong yang mengorbankan tujuh nyawa. -AFP

 (Mangsa yang terselamat dalam letupan di dalam bangunan pejabat
di Dhaka pada 7 Mac 2023/AFP)

Media Baharu