SANAA, 21 Oktober - Seramai 15 petugas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) masih terperangkap di dalam bangunan PBB di ibu kota Yaman, selepas serbuan oleh pihak berkuasa Houthi pada Sabtu lalu, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada Isnin.
Menurut beliau, semua petugas berkenaan kini bebas bergerak di dalam kawasan bangunan tersebut serta telah berhubung dengan keluarga dan agensi masing-masing.
“Kami berharap mereka akan dibenarkan keluar dari bangunan itu secepat mungkin,” katanya.
Dujarric turut mengesahkan bahawa lima petugas tempatan warga Yaman yang turut ditahan sejak Sabtu telah dibebaskan.
Namun begitu, 53 lagi petugas PBB masih ditahan secara sewenang-wenangnya oleh kumpulan Houthi, termasuk yang telah ditahan sejak tahun 2021.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, telah menghubungi Menteri Luar Arab Saudi, Iran dan Oman bagi membincangkan isu penahanan tersebut, kata Dujarric.
Kumpulan Houthi yang disokong Iran telah menguasai sebahagian besar wilayah Yaman, termasuk ibu negara Sanaa, sejak mereka merampas kuasa pada 2014 dan awal 2015.
Pejabat PBB di Yaman dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa kumpulan Houthi masih menahan 20 petugasnya, sehari selepas mereka melakukan serbuan ke bangunan organisasi berkenaan.
Jurucakap pejabat penyelaras PBB di Yaman, Jean Alam, berkata pasukan keselamatan Houthi telah memasuki kompleks bangunan tanpa kebenaran, dan lima petugas tempatan serta 15 petugas antarabangsa masih ditahan di dalam premis tersebut.
Tambahnya, pihak PBB kini sedang berunding dengan pihak berkuasa di Sanaa, negara anggota berkaitan serta kerajaan Yaman bagi menyelesaikan situasi itu dengan segera
Selain itu ia bertujuan menamatkan penahanan semua petugas dan memulihkan semula kawalan penuh ke atas bangunan PBB di Sanaa.
Seorang pegawai PBB yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa wakil UNICEF di Yaman, Peter Hawkins, turut termasuk dalam kalangan mereka yang ditahan.
Maklumat berkenaan turut disahkan oleh dua sumber keselamatan Houthi.
Konflik saudara yang berlarutan lebih sedekad itu telah menjerumuskan Yaman iaitu antara negara termiskin di Asia barat ke dalam salah satu krisis kemanusiaan paling teruk di dunia, menurut agensi tersebut. - REUTERS