fb fb fb fb fb

Hamas akan dihapuskan sekiranya langgar perjanjian - Trump

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 21 Oktober - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran kepada Hamas bahawa kumpulan itu akan “dihapuskan” sekiranya melanggar perjanjian gencatan senjata di Gaza dengan Israel.

Namun, jelas Trump, pihaknya akan memberi peluang kepada kumpulan tersebut untuk mematuhi rundingan tersebut.

“Kami membuat perjanjian dengan Hamas bahawa mereka akan berkelakuan baik, mereka akan patuh, mereka akan tenang,” kata Trump kepada pemberita di White House ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

“Dan jika mereka tidak berbuat demikian, kami akan menghapuskan mereka, jika perlu. Mereka tahu tentang itu", jelas Trump.

Trump turut menggesa Hamas menghentikan hukuman mati secara terbuka terhadap penentang dan individu yang didakwa bekerjasama dengan Israel ketika kumpulan itu cuba mengukuhkan kembali kawalannya ke atas wilayah Gaza yang musnah.

Trump juga menegaskan bahawa Hamas kini jauh lebih lemah, selepas penyokong kumpulan berkenaan, Iran dilihat kurang campur tangan selepas serangan AS dan Israel tahun ini.

“Mereka tidak lagi mempunyai sokongan sesiapa pun. Mereka mesti berkelakuan baik, dan jika tidak, mereka akan dihapuskan,” katanya.

Sementara itu, pemimpin perunding Hamas, Khalil al-Hayya, memberitahu saluran Mesir Al-Qahera News bahawa kumpulan itu masih komited kepada perjanjian gencatan senjata.

“Kami menghadapi kesukaran besar untuk mengeluarkan mayat-mayat, tetapi kami serius dan bekerja keras untuk mengeluarkan mayat-mayat berkenaan,” katanya.

“Perjanjian Gaza akan bertahan, kerana kami mahu ia bertahan dan tekad kami untuk mematuhinya sangat jelas", tambah Khalil. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD