MOSCOW, 13 Mei- Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dan 20 cedera pada Ahad apabila blok sebuah pangsapuri di Rusia runtuh, selepas terkena serpihan peluru berpandu yang sempat ditembak jatuh, dilancarkan oleh Ukraine.
Menurut pegawai Rusia, wilayah Belgorod merupakan antara lokasi serangan paling teruk selepas Ukraine melancarkan serangan peluru berpandu besar-besaran, melibatkan peluru berpandu balistik jenis Tochka dan sistem roket pelancar berganda Adler dan RM-70 Vampire (MLRS).
Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan sekurang-kurangnya 10 tingkat bangunan telah musnah.
Ketika pasukan perkhidmatan kecemasan menyelamatkan mangsa daripada runtuhan, bumbung bangunan tiba-tiba jatuh dan hampir mengenai orang ramai.
Kementerian pertahanan Rusia berkata serangan itu digelar sebagai "serangan pengganas ke atas kawasan perumahan", berlaku pada 8.40 pagi waktu tempatan dan melibatkan sekurang-kurangnya 12 peluru berpandu.
“Serpihan salah satu peluru berpandu Tochka-U yang dijatuhkan, merosakkan sebuah bangunan pangsapuri di bandar Belgorod,” kata kementerian itu.
Dalam pada itu, Ukraine dan Rusia menafikan bahawa mereka tidak menyasarkan orang awam, namun Rusia pernah melancarkan serangan ke atas kawasan kejiranan yang lebih kecil pada Februari 2022.
Peperangan itu telah membunuh ribuan nyawa dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dan menjadikan bandar-bandar Ukraine seperti debu runtuhan.
Kremlin berkata Presiden Vladimir Putin telah diberi taklimat mengenai serangan itu, yang dikatakan sebagai "biadab".
Kementerian luar Rusia berkata sasaran orang awam dan infrastruktur awam adalah jenayah tetapi Ukraine tidak mengeluarkan komen segera.
Kiev berkata bahawa serangan terhadap infrastruktur ketenteraan, pengangkutan dan tenaga Rusia adalah sebagai usaha melemahkan perang Moscow.
Konflik di timur Ukraine bermula pada 2014 selepas presiden pro-Rusia digulingkan dalam Revolusi Maidan Ukraine dan Rusia menawan Crimea, dengan pasukan pemisah yang disokong Rusia memerangi angkatan bersenjata Ukraine.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), kira-kira 14,000 orang terbunuh antara 2014 dan akhir 2021 termasuk 3,106 orang awam.- REUTERS