fb fb fb fb fb

125 terbunuh, 323 cedera dalam rusuhan di Stadium Kanjuruhan

(FOTO AFP)

MALANG, 3 Oktober- Sekurang-kurangnya 125 orang terbunuh dan 323 orang tercedera dalam tragedi rusuhan yang berlaku di Stadium Kanjuruhan pada Sabtu.

Suasana tegang berlaku apabila peminat pasukan tuan rumah Arema FC menyerbu padang stadium selepas tewas 3-2 kepada musuh tradisi, Persebaya Surabaya.

Polis bertindak dengan melancarkan gas pemedih mata ke arah kawasan penonton sekali gus menyebabkan penonton cemas dan bertempiaran untuk keluar sehingga tercetusnya insiden pijak-memijak serta sesak nafas akibat gas pemedih mata itu.

Polis turut mengesahkan dua pegawainya terbunuh selain kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

"Salah satu mesej kami adalah supaya pihak berkuasa menyiasat (kejadian) ini secara menyeluruh. Dan kami mahu akauntabiliti, siapa yang harus dipersalahkan?" kata Andika yang berusia 25 tahun, yang enggan memberikan nama belakangnya.

“Kami mahu keadilan untuk penyokong kami yang terkorban,” tambahnya.


(FOTO AFP)

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan siasatan ke atas insiden itu tetapi kumpulan hak asasi manusia berkata ia harus bebas dan pegawai perlu bertanggungjawab kerana menggunakan gas pemedih mata di kawasan terkurung.

"Kami menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang pantas, teliti dan bebas terhadap penggunaan gas pemedih mata di stadium dan memastikan mereka yang didapati melakukan pelanggaran dibicarakan di mahkamah terbuka," kata Amnesty International dalam satu kenyataan.

Petisyen dalam talian bertajuk "Polis mesti berhenti menggunakan gas pemedih mata" mengumpulkan hampir 6,000 tandatangan menjelang pagi Isnin.

Sementara itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino menggelar tragedi itu sebagai "hari gelap" untuk bola sepak namun tidak meminta sebarang tindakan pihak berkuasa.

Garis panduan keselamatan badan induk bola sepak dunia melarang penggunaan gas pemedih mata dalam mengawal situasi orang ramai oleh polis atau pengawal di tepi padang.

Arena bola sepak dunia bersatu meratapi tragedi itu dengan kelab Sepanyol berdiam diri selamat seminit sebagai simbolik penghargaan buat mereka yang terkorban dalam tragedi rusuhan itu.-AFP

Media Baharu