(Sebahagian kapal yang terbelah dua di Laut China Selatan akibat dibadai Taufan Chaba
ketika berada di 160 batu nautika (296 kilometer) barat daya Hong Kong/FOTO AFP)
BEIJING, 5 Julai - Pasukan penyelamat China hari ini menemui sebanyak 12 mayat dipercayai mangsa lemas dalam kejadian kapal karam di Laut China Selatan pada hujung minggu lalu,
Kesemua mangsa ditemui di kawasan kira-kira 50 batu nautika barat daya lokasi kapal itu dipercayai karam akibat mengalami kerosakan besar dan terbelah dua ketika taufan.
Pengumuman itu menyusul beberapa hari selepas insiden sebuah kapal kejuruteraan yang berada di 160 batu nautika (296 kilometer) barat daya Hong Kong.
Menurut Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim Guangdong, pihak berkuasa sedang menyegerakan usaha mengesahkan identiti kesemua mangsa.
Terdahulu media China, CCTV melaporkan sebelum kapal itu tenggelam, sistem pemantauan mengesan kapal berkenaan dalam situasi bahaya.
Manakala, CGTN melaporkan sejumlah 30 kru meninggalkan kapal yang dikenali sebagai Fujing 001 digunakan untuk pembinaan tenaga angin luar pesisir, selepas rantai sauhnya terputus akibat taufan.
Kelmarin media China melaporkan tiga kru terbabit berjaya diselamatkan diikuti seorang lagi pada awal pagi tadi, manakala nasib 26 anak kapal yang lain masih belum diketahui.
(Pasukan mencari dan menyelamat dihantar untuk mencari mangsa yang masih hilang /FOTO AFP)
Tiga mangsa yang terselamat memaklumkan bahawa kru lain berkemungkinan sudah dihanyutkan ombak sebelum helikopter pertama tiba.
Kelmarin, Taufan Chaba membadai wilayah Guangdong di selatan China yang terbentuk di bahagian tengah Laut China Selatan.
Keadaan cuaca buruk menjadikan operasi mencari dan menyelamat berdepan sistuasi lebih sukar dan berbahaya
Menurut kenyataan pihak berkuasa China, sebanyak tujuh pesawat, 246 bot dan 498 kapal nelayan telah dihantar untuk mencari mangsa yang masih hilang - AFP