QUETTA, Pakistan, 20 Mac- Sepuluh lagi mayat pelombong berjaya ditarik dari lubang arang batu yang runtuh di selatan Pakistan hari ini, menjadikan angka kematian kepada 12 orang.
Letupan gas yang berlaku semalam, menggegarkan lubang arang batu persendirian di kawasan perlombongan Khost, kira-kira 80 kilometer di timur Quetta sehingga memerangkap pelombong ratusan kaki di bawah tanah.
Ketua pemeriksa lombong wilayah Balochistan, Abdul Ghani Baloch berkata usaha menyelamat sudah berakhir dengan 12 mayat ditemui.
"Dua mayat ditemui pada waktu malam dengan baki 10 lagi ditemui pada awal pagi," katanya.
Ketua Pengarah Perlombongan Balochistan, Abdullah Shahwani turut mengesahkan jumlah kematian.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif menerusi satu kenyataan mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa mangsa.
Piawaian keselamatan lazimnya diabaikan dalam industri perlombongan arang batu di Pakistan, yang membawa kepada kemalangan dan letupan yang membunuh puluhan pekerja lombong setiap tahun.
Pelombong sering mengadu bahawa pemilik gagal memasang peralatan keselamatan.
Walaupun bahaya dan gaji yang rendah, ratusan pelombong bekerja di Baluchistan, di mana pengangguran lebih tinggi daripada bahagian lain di negara ini.- AFP