fb fb fb fb fb

12 maut cubaan selamat anak lelaki pembunuh upahan kartel Mexico

FOTO REUTERS

MEXICO, 22 Januari - Sekurang-kurangnya 12 suspek penjenayah terbunuh di lebuh raya berhampiran Hermosillo di negeri Sonora di utara Mexico, kata seorang pegawai kerajaan pada Ahad,.

Kejadian itu berlaku ketika percubaan untuk menyelamatkan anak lelaki pembunuh upahan kartel.

Tujuh lagi melarikan diri dan mungkun ada yang cedera, kata pejabat peguam negeri Sonora dalam satu kenyataan.

Seorang jurucakap mengesahkan kepada Reuters bahawa 12 terbunuh.

Dua pegawai keselamatan dimasukkan ke hospital selepas insiden tembak-menembak tetapi kini dalam keadaan stabil, tambah kenyataan itu.

Pejabat itu berkata ia mengesyaki kumpulan bersenjata, cuba menyelamatkan anak lelaki Jesus Humberto Limon, suspek pembunuh upahan yang bekerja dengan puak Sinaloa Cartel yang diketuai anak-anak Joaquin "El Chapo" Guzman.

Anak lelaki pembunuh upahan yang disyaki, Carlos Humberto, telah ditahan beberapa minit sebelum itu atas kesalahan jenayah di Camino del Seri, katanya, tanpa memberikan butiran lanjut.

Pejabat peguam berkata ejen kerajaan telah menjadi sasaran pada petang Sabtu di lebuh raya yang menghubungkan ibu negeri Hermosillo dengan Bahia de Kino di pantai Pasifik, bagaimanapun pasukan keselamatan berjaya meleraikan serangan itu.

Pasukan keselamatan menemui 21 senjata serangan termasuk AR-15 dan AK-47, pengecas, jaket kalis peluru, kit penyamaran, enam van moden dan kuantiti peluru yang banyak. - REUTERS

TETITIA YUSOFF