fb fb fb fb fb

1.1 bilion manusia hidup dalam kemiskinan akut - PBB

Foto Hiasan / Reuters

NEW YORK, 17 Oktober - Lebih daripada satu bilion manusia di seluruh dunia hidup dalam kemiskinan akut, menurut laporan terkini Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) yang dikeluarkan pada Rabu.

Laporan itu menyatakan bahawa lebih separuh daripada mereka yang terjejas adalah kanak-kanak.

Kertas yang diterbitkan bersama Inisiatif Kemiskinan dan Pembangunan Manusia Oxford (OPHI) mendedahkan bahawa kadar kemiskinan adalah tiga kali ganda lebih tinggi di negara-negara yang terlibat dalam peperangan.

Ini selari dengan laporan yang menunjukkan tahun 2023 sebagai tahun dengan jumlah konflik paling tinggi sejak Perang Dunia Kedua.

UNDP dan OPHI telah menerbitkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) setiap tahun sejak 2010, dengan menggunakan data daripada 112 negara yang mempunyai populasi gabungan seramai 6.3 bilion orang.

Indeks ini mengukur kemiskinan berdasarkan penunjuk seperti kekurangan perumahan yang sesuai, sanitasi, elektrik, bahan api memasak, nutrisi dan kehadiran ke sekolah.

“Bagi mereka yang hidup dalam negara yang terjejas oleh peperangan, usaha untuk memenuhi keperluan asas menjadi lebih getir dan terdesak,” kata Ketua Statistik UNDP, Yanchun Zhang.

Laporan juga menunjukkan bahawa 1.1 bilion daripada 6.1 bilion orang di 110 negara pada tahun lepas turut menghadapi kemiskinan pelbagai dimensi yang melampau.

Kajian terbaharu ini mendedahkan bahawa sekitar 584 juta orang di bawah umur 18 tahun hidup dalam kemiskinan melampau, iaitu 27.9 peratus daripada keseluruhan kanak-kanak di dunia, berbanding hanya 13.5 peratus orang dewasa.

Sebanyak 83.2 peratus daripada golongan termiskin di dunia tinggal di Sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.

Pengarah OPHI, Sabina Alkire, menegaskan bahawa konflik merupakan halangan utama dalam usaha pengurangan kemiskinan global.

“Walaupun penemuan ini mungkin dapat dijangka, namun apa yang mengejutkan kami ialah skala besar manusia yang berjuang untuk hidup dengan layak sambil bimbang tentang keselamatan mereka adalah seramai  455 juta orang,” katanya.

Tambah Alkire, ini menunjukkan cabaran besar kepada komuniti antarabangsa untuk terus menumpukan usaha kepada pengurangan kemiskinan sambil memupuk keamanan.

India muncul sebagai negara dengan jumlah penduduk termiskin paling ramai, di mana 234 juta orang daripada 1.4 bilion penduduknya hidup dalam kemiskinan melampau.

Ia diikuti oleh Pakistan, Ethiopia, Nigeria, dan Republik Demokratik Congo. Lima negara ini merangkumi hampir separuh daripada 1.1 bilion orang miskin di dunia.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN