fb fb fb fb fb

“Dark Tour” imbau krisis darurat Korea Selatan, tarik lebih 200 pengunjung

Yang Dipertua Dewan Rakyat Korea Selatan, Woo Won-shik, membawa pengunjung melihat tembok yang dipanjatnya setahun lalu sempena lawatan khas “dark tour” ke lokasi berkaitan perintah darurat, bagi memperingati ulang tahun pertama pengisytiharan perintah darurat oleh bekas Presiden Yoon Suk Yeol, di Kompleks Parlimen, Seoul / REUTERS

SEOUL, 4 Disember - Lebih 200 warga Korea Selatan menyertai lawatan khas ke Kompleks Parlimen Negara pada Rabu bagi melihat beberapa lokasi yang dikaitkan dengan krisis perintah darurat tahun lalu, termasuk sebuah padang sukan yang menjadi lokasi pendaratan helikopter membawa anggota tentera bertopeng.

Lawatan yang digelar sebagai “dark tour” itu dianjurkan sempena ulang tahun pertama krisis berkenaan, susulan tindakan bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang mengisytiharkan perintah darurat serta mengerahkan tentera dan polis untuk mengawal parlimen, sekali gus mencetuskan kejutan besar kepada negara itu.

Pada malam kejadian, ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanan, manakala ahli-ahli Parlimen memanjat tembok bagi mengelak kawalan keselamatan untuk menghadiri sidang tergempar sebelum perintah darurat berjaya dibatalkan melalui undian Parlimen selepas enam jam ketegangan yang dipenuhi detik keberanian, kemarahan dan kekeliruan.

Dalam lawatan tersebut, Woo menunjukkan salah satu tembok yang pernah dipanjatnya bersama beberapa ahli Parlimen lain untuk memasuki bangunan bagi membuat undian menolak arahan perintah darurat itu.

Ketika itu, ketua pembangkang Lee Jae Myung yang kemudiannya dipilih sebagai Presiden dalam pilihan raya mengejut pada Jun lalu turut memanjat tembok sama dan menyeru orang ramai untuk turun ke jalanan melalui siaran langsung yang menjadi tular.

Krisis perintah darurat itu mencetuskan antara pergolakan politik paling buruk dalam sejarah Korea Selatan yang sebelum ini dianggap sebagai antara kejayaan demokrasi di Asia.

Yoon kemudiannya dipecat melalui proses pemecatan (impeachment) dan kini sedang dibicarakan atas pertuduhan pemberontakan bersama beberapa pegawai kanan pentadbirannya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE