GURP, 4 Disember - Seorang petani dari Catalonia, Oriel Rovira, menyuarakan kebimbangan, Sepanyol bakal menghadapi krisis jangka panjang susulan wabak demam babi Afrika yang dikesan pada beberapa babi liar berhampiran Barcelona.
Kerajaan wilayah Catalonia berikrar untuk mengawal populasi babi liar, termasuk meningkatkan kadar pemburuan, selepas wabak itu dikesan, kejadian pertama sejak 1994 di negara itu.
Wabak berkenaan mengancam eksport daging babi Sepanyol, pengeluar utama di Kesatuan Eropah yang menyumbang satu perempat daripada pengeluaran daging babi blok itu, dengan nilai eksport tahunan sekitar 3.5 bilion euro.
Kejadian pertama dikesan minggu lalu pada dua ekor babi liar di pergunungan Collserola berhampiran Barcelona, dan tujuh ekor lagi dalam kawasan sama telah disahkan mati akibat penyakit itu. Pegawai Sepanyol menjangkakan lebih banyak kes positif akan ditemui.
Walaupun tidak berbahaya kepada manusia, virus tersebut merebak dengan cepat dalam kalangan babi dan babi liar. Setakat ini, tiada ladang ternakan terjejas.
Terdapat kira-kira 1,000 ekor babi liar di kawasan pergunungan Collserola, dengan kepadatan 9.2 ekor per km persegi, menurun daripada 17.4 ekor pada 2021-22 selepas populasi meningkat pesat akibat pandemik COVID-19, menurut data yang dikumpul oleh stesen TV awam Catalonia.-REUTERS