- Xabi Alonso berhenti sebagai jurulatih utama Real Madrid atas persetujuan bersama selepas kekalahan di final Piala Super Sepanyol.
- Alvaro Arbeloa dilantik menggantikan Alonso; beliau pernah mengendalikan Castilla dan bekerja dalam akademi sejak 2020.
- Real Madrid bergelut mencari konsistensi di bawah Alonso, kini kedua dalam La Liga, empat mata di belakang Barcelona.

MADRID, 13 Januari – Real Madrid pada Isnin mengumumkan bahawa jurulatih Xabi Alonso telah meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu atas persetujuan bersama, dan digantikan oleh Alvaro Arbeloa.
Keputusan itu dibuat sehari selepas pasukan itu tewas pada final Piala Super Sepanyol menentang Barcelona. Arbeloa, bekas pemain Madrid yang ketika ini mengendalikan pasukan simpanan Castilla, dilantik bagi menggantikan Alonso.
“Real Madrid mengumumkan bahawa, atas persetujuan bersama antara kelab dan Xabi Alonso, telah diputuskan untuk menamatkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai jurulatih pasukan utama,” menurut kenyataan Los Blancos.
Dalam kenyataan berasingan, Madrid memaklumkan Arbeloa akan mengambil alih jawatan Alonso, tanpa menyatakan tempoh kontrak jurulatih berusia 42 tahun itu.
“Arbeloa telah menjadi jurulatih Castilla sejak Jun 2025 dan telah membangunkan seluruh kerjaya kejurulatihan beliau dalam akademi Real Madrid sejak 2020,” menurut kenyataan kelab itu.
Alonso menyertai Real Madrid pada Jun, menggantikan jurulatih veteran Carlo Ancelotti, tetapi pasukan mengalami kesukaran mencari konsistensi di bawah pengendalian jurulatih Basque itu dan kini berada di tangga kedua La Liga, empat mata di belakang Barcelona.
Los Blancos tewas 2-3 di tangan pasukan Hansi Flick di Arab Saudi pada Ahad, yang menjadi perlawanan terakhir Alonso di tangga kejurulatihan.
Alonso hampir dipecat pada penghujung 2025, tetapi kemenangan lima perlawanan berturut-turut mengekalkan beliau di jawatan sehingga kekalahan dalam Piala Super menamatkan era beliau.- AFP