
LONDON, 20 Januari – Tottenham Hotspur terus dibelenggu masalah kecederaan apabila pengurus, Thomas Frank hanya mempunyai 11 pemain yang cergas menjelang aksi Liga Juara Eropah (UCL) menentang Borussia Dortmund pada awal pagi Rabu.
- Kekurangan pemain cergas menjelang perlawanan UCL kerana kecederaan melibatkan beberapa tonggak utama pasukan.
- Penggantungan Micky van de Ven menjejaskan kestabilan barisan pertahanan Tottenham.
- Thomas Frank kekal tenang dan menegaskan fokus serta sokongan pengurusan walau di bawah tekanan penyokong.
Frank mengakui keadaan pasukan sangat terhad dengan beberapa pemain hanya mampu bertahan kurang daripada 90 minit perlawanan akibat tahap kecergasan yang belum pulih sepenuhnya.
Antara pemain yang masih cedera ialah Richarlison, Joao Palhinha, Rodrigo Bentancur, Mohammed Kudus, Ben Davies dan James Maddison.
Masalah bertambah apabila pertahanan utama, Micky van de Ven digantung perlawanan, sekali gus menjejaskan kekuatan barisan pertahanan Spurs.
Walaupun prestasi liga domestik mengecewakan, Tottenham kini berada di kedudukan ke-11 UCL dan masih berpeluang layak ke pusingan 16 terbaik.
Frank menegaskan ketiadaan pemain utama akibat kecederaan menjadi punca utama prestasi tidak konsisten pasukan musim ini.
Sementara itu, spekulasi mengenai pemecatannya semakin kuat, namun Frank memilih untuk kekal tenang.
“Saya rasa perkara paling penting ialah mengabaikan gangguan luar, kekal tenang, terus bekerja keras dan fokus pada prestasi. Pemain masih berjuang di atas padang dan memberi sepenuh komitmen.
“Banyak petanda menunjukkan pasukan berada di landasan yang betul, cuma kami masih perlu mencari cara untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan. Saya percaya kami sudah semakin hampir.” tegasnya.
Tekanan terhadapnya meningkat selepas penyokong mengejeknya susulan kekalahan 1-2 kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.
Frank menegaskan beliau masih mendapat sokongan pengurusan kelab dan akan terus berjuang bersama pasukan. – REUTERS