The Pocket Rocketman raih emas di Velodrom Nasional

Pemenang pingat Emas dari Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang (tengah) bergambar di atas podium bersama pemenang pingat Perak Geunwoo Kim (kiri) dan pingat Gangsa Muhammad Ridwan Sahrom (kanan) di Velodrom Nasional Nilai, hari ini/ Foto BERNAMA

NILAI, 7 Januari – Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, memulakan musim 2026 dengan cemerlang selepas menjuarai acara pecut elit lelaki pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azizulhasni Awang menang emas acara pecut elit lelaki di Siri Trek ASEAN 1 di Velodrom Nasional.
  • Kemenangan di gelanggang sendiri dijadikan persiapan untuk Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi–Nagoya.
  • Azizulhasni beri sokongan dan nasihat kesabaran untuk pemulihan Muhammad Shah Firdaus selepas kecederaan lutut.

Pelumba berusia 38 tahun itu meraih pingat emas selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Kim Geunwoo, dalam perlumbaan akhir.

Azizulhasni berkata kejayaan di gelanggang sendiri itu penting sebagai persiapan awal menghadapi kejohanan utama tahun ini termasuk Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia di Aichi–Nagoya.

“Saya memang mahu menang di gelanggang sendiri untuk mengambil semangat daripada pasukan, rakan dan penonton. Perlumbaan ini sangat pantas dan mencabar kerana kami sudah saling mengenali taktikal masing-masing, jadi saya perlu membuat sedikit pelarasan, namun secara keseluruhan ia satu perlumbaan yang baik,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Terdahulu, pingat gangsa acara itu dimenangi pelumba negara, Muhammad Ridwan Sahrom, yang menewaskan Cheuk Hei To dari Hong Kong.

Dalam perkembangan lain, Azizulhasni turut menyuarakan keyakinan bahawa Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampu kembali beraksi dengan lebih baik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan, sambil menekankan bahawa kesabaran amat penting dalam proses pemulihan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah dan saya benar-benar faham kerana pernah mengalaminya beberapa kali. Shah banyak belajar daripada saya, terutama dari segi keberanian dan semangat juang. Saya nampak dia benar-benar mahu bangkit semula, namun dia perlu diberi masa kerana kecederaan lutut bukan perkara kecil. Saya puji semangatnya dan saya rindu untuk kembali menjalani latihan bersama dia,” jelasnya.

Sementara itu, pingat gangsa acara pecut elit wanita menjadi milik Anis Amira Rosidi, yang menewaskan rakan sepasukan, Yong Ann Tung.