
INDONESIA, 24 Januari — Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei kembali menemui sentuhan terbaik apabila melangkah ke perlawanan akhir kejohanan badminton Masters Indonesia, hari ini.
- Chen Tang Jie–Toh Ee Wei mara ke final Masters Indonesia selepas menewaskan Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin 21-17, 21-12.
- Kemenangan memutus badi kekalahan mereka kepada pasangan China dan merapatkan rekod pertemuan kepada 4-5.
- Kemasukan ke final memberi kebangkitan musim dan peluang memburu gelaran kelima Jelajah Dunia.
Dalam aksi separuh akhir kejohanan Super 500 di Istora Senayan, pasangan nombor empat dunia itu menampilkan permainan bertenaga untuk menewaskan gandingan China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin secara straight set 21-17, 21-12.
Kemenangan bergaya itu turut menamatkan badi kekalahan Tang Jie–Ee Wei ke atas pasangan nombor dua dunia berkenaan selepas tewas dalam dua pertemuan terdahulu, sekali gus merapatkan rekod pertemuan kepada 4-5.
Kejayaan mara ke perlawanan akhir juga menjadi kebangkitan penting buat beregu negara itu selepas permulaan musim yang kurang memberangsangkan, termasuk tersingkir di suku akhir Terbuka Malaysia dan pusingan pertama Terbuka India.
Tang Jie–Ee Wei dijadual beraksi di final Jelajah Dunia ke-10 karier mereka dan bakal berdepan sama ada pasangan tuan rumah, Jafar Hidayatullah–Felisha Pasaribu atau gandingan Denmark, Mathias Christiansen–Alexandra Boje, dalam misi memburu gelaran kelima Jelajah Dunia.