
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Sumbangan yang disalurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sempena Aidilfitri disifatkan amat bermakna buat bekas atlet negara khususnya dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.
- Ramai bekas atlet tiada pendapatan tetap selepas bersara dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup.
- YAKEB membantu aspek kebajikan termasuk sokongan perubatan, dana pembedahan dan pengurusan kos rawatan.
- Beliau menggesa bekas atlet mendaftar dengan YAKEB supaya tidak terlepas bantuan sedia ada.
Bekas atlet ragbi negara, Bahaman Mohd Nor berkata bantuan tersebut memberi kelegaan kepada golongan veteran sukan yang kebanyakannya sudah tidak mempunyai pendapatan tetap selepas bersara.
Menurutnya, sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu persiapan hari raya, malah menjadi sokongan penting dalam meneruskan kehidupan harian.
“Bermakna betul sumbangan YAKEB ini sebab bekas-bekas atlet ini selepas 60 mereka sudah tiada pendapatan jadi dengan YAKEB panggil dapat sumbangan ini amat bermakna lah” katanya.
Beliau yang kini melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara kehidupan turut mengakui cabaran kos sara hidup semakin meningkat, sekali gus menjadikan bantuan seumpama itu amat diperlukan.
Katanya, YAKEB juga memainkan peranan besar dalam membantu bekas atlet dari segi kebajikan termasuk sokongan perubatan dan pengurusan kos rawatan.
“Jadi YAKEB banyak lah membantu macam saya dulu kena buat ‘BY PAST’ dia tolong lah cari dana untuk buat pembedahan dan apa-apa urusan perubatan memang YAKEB banyak membantu bekas-bekas atlet” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa lebih ramai bekas atlet untuk mendaftar dengan YAKEB bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada menerima bantuan yang disediakan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara di pentas sukan.