
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Stadium Juara di Bukit Kiara berpotensi dijadikan pusat latihan tambahan kepada skuad badminton negara bagi menampung keperluan latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
- BAM mengemukakan permohonan untuk menggunakan kemudahan Stadium Juara.
- Lokasi berhampiran ABM memudahkan logistik dan menjimatkan masa perjalanan pemain dan jurulatih.
- Perbincangan diadakan dengan jawatankuasa BAM dua minggu lalu mengenai penggunaan kemudahan.
- Kementerian akan berbincang lanjut dengan PSM dan BAM selepas raya; menteri tinjau fasiliti ABM dan bertemu pemain.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan cadangan itu sedang diteliti selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengemukakan permohonan untuk menggunakan kemudahan berkenaan.
Kedudukan Stadium Juara yang berhampiran ABM dilihat sesuai kerana dapat memudahkan urusan logistik selain menjimatkan masa perjalanan pemain dan jurulatih.
“Sebenarnya kita telah pun mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa BAM pada dua minggu yang lepas.
“Ini adalah antara isu yang telah dibangkitkan dan bagi saya stadium ini pertama berdekatan kemudian dari segi transport, logistik dan juga masa itu dapat kita jimatkan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas mengadakan lawatan kerja ke ABM di Bukit Kiara.
Dr Mohammed Taufiq berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan BAM bagi meneliti cadangan penggunaan kemudahan tersebut.
“Selepas raya ini kita akan melihat, kita akan buat keputusan terbaik untuk kita memastikan kita memberikan yang terbaik utuk atlet sebab memang jarak stadium itu lebih mudah untuk atlet, jurulatih kita klebih mudah kesana,” katanya lagi.
Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau fasiliti latihan di ABM selain bertemu pemain skuad kebangsaan dan junior yang sedang menjalani latihan.