Raih kemenangan tipis, Pan Gon akui sia-siakan peluang

Kim Pan Gon

PETALING JAYA, 14 Januari – Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mengakui kegagalan memanfaatkan peluang menjadi punca pasukannya berdepan kesukaran sebelum meraih kemenangan tipis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kim Pan Gon akui pasukannya gagal memanfaatkan banyak peluang pada separuh masa pertama.
  • Kegagalan menjaringkan gol awal meletakkan pasukan dalam situasi sukar.
  • Beliau tekankan keperluan menjadi lebih klinikal dan kolektif dalam serangan.
  • Puji semangat juang pemain dan sokongan padu penyokong Gergasi Merah.

Menurut jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, The Red Giants seharusnya menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama bagi memudahkan perjalanan perlawanan.

“Pada separuh masa pertama kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Kami mencipta banyak peluang termasuk percubaan tepat ke sasaran, tetapi gagal memanfaatkannya.

“Apabila gagal menjaringkan gol awal, kami sendiri meletakkan pasukan dalam situasi sukar. Jika mahu menjadi pasukan yang kuat, kami perlu lebih klinikal dan kolektif dalam serangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Selangor FC menewaskan Negeri Sembilan FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Dalam pada itu, Kim Pan Gon tetap memuji semangat juang tinggi anak buahnya serta menghargai sokongan padu penyokong Gergasi Merah yang hadir memberi dorongan di laman sendiri.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil mengakui kecederaan beberapa pemain utama menjejaskan usaha pasukannya untuk mengekalkan momentum positif.

“Beberapa pemain utama mengalami kecederaan sebelum perlawanan dan itu memberi kesan kepada pasukan. Kami cuba mengekalkan intensiti seperti perlawanan sebelum ini, namun ia bukan sesuatu yang mudah,” jelasnya.

Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor FC melonjak ke tangga kedua Liga Super dengan 31 mata, sekali gus membuka jurang dengan pencabar terdekat.