
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyenaraikan enam muka baharu daripada keseluruhan 21 pemain skuad lelaki dalam Program Podium 2026 bagi menghadapi kalendar kejohanan utama tahun ini.
- Enam wajah baharu disenarai dalam Program Podium 2026 untuk meningkatkan persaingan dan menggugat pemain senior.
- Penilaian dibuat berdasarkan prestasi, konsistensi, kecergasan, disiplin latihan dan komitmen terhadap program pusat.
- Kemasukan pemain baru susulan prestasi cemerlang di peringkat domestik selari perancangan pembangunan prestasi tinggi.
- Senarai pemain termasuk juga empat muka baharu wanita; kelulusan dibuat dalam mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara.
Antara muka baharu yang mencuri tumpuan ialah Muhammad Fahmi Khalid sebagai tekong, selain Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa dan Muhammad Wazir Madi di posisi apit kanan.
Turut disenaraikan sebagai pengumpan ialah Zuhri Muhammad Zin, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran dan Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa.
Ia bertujuan memberi saingan kepada pemain senior sekali gus meningkatkan persaingan dalam kesebelasan utama.
Setiausaha Agung PSM, Abidullah Salleh berkata pemilihan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh meliputi prestasi semasa, konsistensi, tahap kecergasan dan disiplin latihan.
Selain itu, turut menjadi pertimbangan adalah komitmen terhadap program pusat serta kesesuaian taktikal mengikut acara dipertandingkan.
“Penilaian dijalankan secara profesional oleh barisan kejurulatihan kebangsaan bersama Jawatankuasa Teknikal PSM berlandaskan garis panduan ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Abidullah menjelaskan kemasukan pemain baharu itu susulan aksi cemerlang mereka di peringkat domestik dan selari dengan perancangan pembangunan prestasi tinggi bagi memperkukuh acara berpasukan, regu dan kuadran.
Dalam perkembangan sama, skuad wanita turut menerima empat muka baharu melengkapkan senarai 12 pemain Program Podium tahun ini.
Senarai berkenaan telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara Malaysia bersama PSM pada Isnin.