
KOTA TINGGI, 3 April – Projek pembinaan bangunan tambahan dan naik taraf kemudahan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar kini berada di fasa akhir dengan kemajuan fizikal mencecah 74.16 peratus.
- Kos projek RM28 juta; dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun depan.
- Kerja bermula Jun 2022 dengan skop luas bagi meningkatkan keselesaan atlet muda.
- Komponen utama: bangunan tambahan prauniversiti, naik taraf asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, gelanggang boling padang dan fasiliti sukan lain.
- JKR pantau rapi dan laksanakan serahan bangunan berfasa untuk elakkan risiko terbengkalai serta nikmati manfaat segera oleh warga sekolah.
Projek yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM28 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun depan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja-kerja pembinaan yang bermula pada Jun 2022 itu melibatkan skop kerja yang luas demi keselesaan atlet muda.
Antara komponen utama projek merangkumi pembinaan bangunan tambahan bagi kemudahan pelajar prauniversiti, naik taraf blok asrama lelaki dan perempuan, penambahbaikan dewan makan, serta naik taraf gelanggang boling padang dan fasiliti sukan yang lain.
Menurut Mohamad Fazli, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh infrastruktur pendidikan sukan dan memastikan bakat-bakat muda Johor dapat berlatih dalam persekitaran yang lebih kondusif.
Langkah itu dilihat penting dalam usaha memperkasakan pembangunan bakat pelajar di sekolah sukan berkenaan.
Bagi memastikan projek berjalan lancar, Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan pemantauan rapi serta menggunakan pendekatan serahan bangunan berfasa.
Langkah proaktif berkenaan diambil bagi mengoptimumkan pengurusan tapak sekali gus mengelakkan sebarang risiko projek terbengkalai agar manfaatnya dapat dinikmati segera oleh warga sekolah.