Piala Thomas 2026: Kekalahan Zii Jia tidak jejaskan fokus skuad negara

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari / RTM

PETALING JAYA, 12 Mac – Kekalahan awal jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia di Terbuka Switzerland baru-baru ini sama sekali tidak menggoyahkan fokus dan persiapan skuad badminton negara menjelang kempen Piala Thomas 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS dan Menteri yakin penuh terhadap kebolehan barisan pemain negara menghadapi cabaran kejohanan antarabangsa.
  • Menteri menyeru peminat terus memberi sokongan padu manakala atlet diminta mengekalkan fokus.
  • Satu pertemuan barisan pemain dan pengurusan dirancang sebagai suntikan moral terakhir sebelum berlepas.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menegaskan Kementerian Belia dan sukan (KBS) tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap kemampuan barisan pemain kebangsaan untuk menggalas cabaran pada saingan yang akan berlangsung di Horsens, Denmark, pada hujung April ini.

“Kita masih meletakkan satu keyakinan yang tinggi. Jangan kita lemah semangat terlalu awal dan yang paling penting, saya sentiasa optimis untuk melihat Malaysia mampu merangkul kemenangan dengan bergaya kali ini.

“Saya sentiasa berhubung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memastikan prestasi pemain-pemain kita terus melonjak, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh peminat sukan badminton negara untuk terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad negara.

“Atlet perlu terus fokus dan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya perlu terus menyokong mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan satu pertemuan bersama pemain dan barisan pengurusan pasukan dijangka diadakan dalam masa terdekat sebelum berlepas ke Denmark bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Langkah itu dilihat sebagai suntikan moral terakhir buat skuad negara dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas yang kali terakhir dijulang Malaysia pada tahun 1992.

Terdahulu, hasrat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah jauh pada Terbuka Switzerland tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama di tangan Jason Teh dari Singapura.

Kekalahan itu meletakkan pemain berusia 27 tahun itu terus kempunan untuk kembali meraih gelaran dalam Jelajah Dunia BWF selepas kali terakhir menjuarai Terbuka Australia pada 2024.