Piala Shopee: Pan-gon yakin Selangor FC mampu beri cabaran

Foto FB Selangor FC

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Pasukan Selangor FC mampu mengekalkan momentum positif dalam mengharungi saingan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee apabila menentang wakil Vietnam, Cong An Hanoi FC pada aksi peringkat kumpulan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kim Pan-gon yakin pasukan sudah bersedia dan membina identiti serta kekuatan untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
  • Selangor kekal tidak tewas dalam kempen Piala Shopee, memperlihatkan momentum positif selepas beberapa keputusan baik.
  • Sokongan penyokong di stadium dianggap penting sebagai suntikan semangat untuk memenangi perlawanan di tempat sendiri.

Ketua jurulatih baharu Selangor FC Kim Pan-gon percaya pasukannya akan menampilkan keyakinan tinggi, selepas meraih empat kemenangan berturut-turut dalam saingan domestik.

“Saya percaya kami telah membuat persiapan yang sangat baik dan amat berharap penyokong hadir ke stadium untuk memberikan sokongan yang akan menjadi suntikan semangat besar kepada kami.

“Kami sedang membina identiti serta kekuatan pasukan, khususnya di laman sendiri dan sasaran kami ialah memenangi setiap perlawanan di tempat sendiri.

“Pemain berada dalam keadaan yakin dan kami akan memberikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang media menjelang pertembungan menentang Cong An Ha Noi FC di Stadium Cong An Ha Noi, di Vietnam.

Skuad Gergasi Merah dijadual menerima kunjungan naib juara edisi lepas itu dalam perlawanan keempat Kumpulan A.

Selangor kekal tidak tewas dalam penampilan sulung mereka dalam Piala Shopee musim ini, termasuk kemenangan ke atas Tampines Rovers FC dalam satu-satunya perlawanan di laman sendiri setakat ini.

Pasukan itu turut mengutip mata di tempat lawan hasil keputusan seri menentang juara bertahan Buriram United FC serta DH Cebu FC di Filipina, sekali gus menduduki tempat kedua Kumpulan A dengan baki dua perlawanan, satu mata di belakang pendahulu Tampines.

Dua pasukan teratas akan mara ke peringkat separuh akhir.