Piala Dunia E-Sukan 2026 tawar hadiah AS$75 juta

Foto REUTERS

RIYADH, 22 Januari – Yayasan Piala Dunia E-Sukan (EWCF) mengumumkan penganjuran Piala Dunia E-Sukan 2026 (EWC), acara e-sukan terbesar di dunia, yang bakal kembali berlangsung di Riyadh dari 6 Julai hingga 23 Ogos dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai AS$75 juta, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hadiah keseluruhan AS$75 juta untuk Piala Dunia E-Sukan 2026 di Riyadh.
  • Lebih 2,000 pemain dan 200 kelab dari lebih 100 negara serta wilayah bertanding.
  • Kejohanan Kelab EWC tawar AS$30 juta, juara kelab akan peroleh AS$7 juta.
  • Fortnite dan Trackmania ditambah antara 24 permainan yang dipertandingkan.

Lebih 2,000 pemain dan 200 kelab dari lebih 100 negara serta wilayah akan bersaing dalam 24 permainan selama tujuh minggu bagi merebut gelaran Juara Kelab Piala Dunia E-sukan.

Pada 2026, Kejohanan Kelab EWC yang merupakan pertandingan rentas permainan utama EWC, akan menawarkan hadiah AS$30 juta kepada 24 kelab terbaik, peningkatan sebanyak AS$3 juta berbanding tahun sebelumnya.

Kelab yang muncul juara akan menerima AS$7 juta, manakala baki peruntukan hadiah akan diagihkan kepada kedudukan terbaik yang lain.

Fortnite dan Trackmania merupakan antara penambahan baharu dalam EWC kali ini.

Senarai penuh permainan yang dipertandingkan ialah: Apex Legends, Call of Duty: Black Ops 7, Call of Duty: Warzone, Catur, Counter-Strike 2, Crossfire, Dota 2, EA Sports FC 26 dan FATAL FURY: City of the Wolves.

Juga Fortnite, Free Fire, Honor of Kings, League of Legends, Mobile Legends: Bang Bang, Overwatch 2, PUBG: Battlegrounds, PUBG Mobile dan Rocket League.

Selain itu, Street Fighter 6, Teamfight Tactics, TEKKEN 8, Tom Clancy’s Rainbow Six Siege X, Trackmania, dan VALORANT. – BERNAMA