Liga Juara Eropah: Atletico mara ke separuh akhir

FOTO AFP

MADRID, 15 April – Atletico Madrid menyingkirkan Barcelona yang beraksi dengan 10 pemain untuk mara ke separuh akhir Liga Juara Eropah menerusi kemenangan agregat 3-2, meskipun tewas 2-1 dalam aksi timbal balik suku akhir pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lamine Yamal dan Ferran Torres meletakkan Barcelona di depan awal perlawanan.
  • Jaringan Ademola Lookman merapatkan jurang selepas hantaran Marcos Llorente, penting selepas kemenangan 2-0 perlawanan pertama.
  • Eric Garcia dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Alexander Sorloth, menjejaskan harapan Barca untuk masa tambahan.
  • Skuad Simeone kembali ke pusingan empat terbaik buat kali pertama sejak 2017, akan bertemu Arsenal atau Sporting Lisbon.

Dua gol awal daripada Lamine Yamal dan Ferran Torres meletakkan pelawat di depan dalam tempoh 24 minit separuh pertama.

Namun jaringan Ademola Lookman sudah memadai untuk memberi kelebihan buat Atletico selepas mencatatkan kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama.

Skuad kendalian Diego Simeone itu kembali ke pusingan empat terbaik buat kali pertama sejak 2017 selepas berjaya mengekang asakan juara La Liga tersebut dalam aksi yang berlangsung sengit dan dramatik.

Harapan Barcelona untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan terjejas apabila pemain pertahanannya, Eric Garcia, dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Alexander Sorloth.

Atletico, yang masih memburu gelaran sulung kejohanan elit Eropah itu selepas tewas dalam perlawanan akhir 2014 dan 2016 di bawah bimbingan Simeone, akan bertemu sama ada Arsenal atau Sporting Lisbon di separuh akhir.

“Kami sangat gembira dapat menyingkirkan pasukan hebat seperti Barca.

“Kami beraksi cemerlang di tempat lawan… walaupun permulaan perlawanan hari ini agak sukar, pasukan tahu bagaimana untuk bangkit semula,” kata pemain tengah Atletico, Koke, kepada Movistar.

Sementara itu, penantian Barcelona untuk menjulang mahkota keenam Eropah sejak kali terakhir memenanginya pada 2015 terus berlanjutan.

Bagaimanapun, pemain tengahnya, Frenkie de Jong, menyifatkan kelab itu kini berada di landasan yang betul.

“Saya rasa kami bermain dengan sangat baik, kami telah memberikan segalanya di atas padang. Saya rasa tuah tidak memihak kepada kami, namun kami sedang berkembang setiap tahun,” kata pemain antarabangsa Belanda itu.

Dalam usaha memberikan tekanan tinggi terhadap Atletico, pengendali Barca, Hansi Flick, membuat kejutan dengan merehatkan Marcus Rashford dan Robert Lewandowski, sebaliknya mempertaruhkan Torres serta Gavi dalam kesebelasan utama.

Lamine Yamal meletakkan Barca di hadapan seawal minit keempat selepas memanfaatkan kesilapan Clement Lenglet sebelum melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol, Juan Musso.

Pelawat menggandakan kedudukan pada minit ke-24 untuk menyamakan kedudukan agregat menerusi Torres yang bijak menyempurnakan hantaran Dani Olmo.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan Barca pada minit ke-31 membawa padah apabila hantaran lintang Marcos Llorente mudah disempurnakan oleh Lookman untuk merapatkan jurang.

Barcelona terus buntu di separuh masa kedua apabila jaringan Torres dibatalkan kerana ofsaid, manakala kemasukan Rashford dan Lewandowski pada 20 minit terakhir gagal mengubah keputusan perlawanan.

Suasana semakin tegang apabila Eric Garcia diusir keluar padang selepas menerima kad merah.

Meskipun Flick meletakkan Ronald Araujo ke bahagian serangan pada minit-minit akhir, Atletico kental bertahan sepanjang lapan minit masa kecederaan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. -AFP