
KUALA LUMPUR, 12 Januari – Kegagalan mengawal tekanan dalam situasi sukar menyebabkan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, melakukan beberapa kesilapan ketika tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae, pada final Terbuka Malaysia 2026, semalam.
- Pasangan Korea Selatan tunjuk kelebihan mental dengan kawal rentak permainan dalam situasi getir.
- Aaron tampak ragu antara pukul kuat atau tolak, menyebabkan kesilapan pada saat genting.
- Seo Seung Jae berperanan sebagai perancang, menenangkan keadaan dan kurang lakukan kesilapan.
- Masalah konsistensi pasukan negara menyumbang kekalahan dan teruskan kemarau gelaran beregu lelaki.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, lawan di ranking pertama dunia itu lebih bijak mengawal rentak permainan, sekali gus membuktikan kelebihan mental yang dimiliki mereka.
“Aaron dan Wooi Yik menang dalam pertemuan terakhir berdepan Won Ho dan Seung Jae. Kemampuan mereka hampir sama, cuma dari segi keyakinan dalam situasi tertentu, pasangan Korea Selatan lebih berpengalaman seperti ketika mata 19-18 di set ketiga.
“Aaron teragak-agak mahu pukul kuat atau tolak sahaja, akhirnya bulu tangkis keluar.
“Seung Jae adalah perancang utama, dia bijak meneutralkan situasi. Walaupun Won Ho ditekan berkali-kali, Seung Jae berjaya menenangkan keadaan dan sangat kurang melakukan kesilapan berbanding pasangannya,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena semalam.

Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas 15-21, 21-12, 18-21 dalam pertarungan selama 66 minit.
Kekalahan menyaksikan kemarau 12 tahun negara dalam acara beregu lelaki di kejohanan berprestij itu berterusan.
Rexy berkata, anak buahnya turut berdepan masalah konsistensi pada set pertama walaupun permainan secara keseluruhan berjalan mengikut perancangan.