KBS hargai penggerak sukan akar umbi

Foto RTM

BUKIT JALIL, 11 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf sumbangan penggerak sukan akar umbi menerusi Anugerah Sukan untuk Semua Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung secara tertutup di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis apresiasi diteruskan sebagai sebahagian sambutan Hari Sukan Negara untuk menghargai usaha memupuk aktiviti fizikal dan gaya hidup aktif.
  • Anugerah merangkumi kategori individu, OKU, keluarga, tokoh sukan dan Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan.
  • KBS menghargai sokongan rakan strategik dan penaja korporat; anugerah diperkenalkan semula untuk menyokong aspirasi Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

Majlis apresiasi itu diteruskan sebagai sebahagian daripada pengisian Hari Sukan Negara bagi menghargai usaha pelbagai pihak dalam membudayakan aktiviti fizikal dan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail berkata, anugerah berkenaan merangkumi beberapa kategori termasuk individu, Orang Kurang Upaya (OKU), keluarga, tokoh sukan serta Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan.

“Majlis hari ini diadakan bagi Anugerah Sukan untuk Semua sempena Hari Sukan Negara. Walaupun sambutan Hari Sukan Negara ditangguhkan, majlis penyampaian anugerah tetap diteruskan secara tertutup hari ini, melibatkan beberapa kategori termasuk individu, Orang Kurang Upaya (OKU), keluarga, tokoh sukan serta Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Apresiasi Anugerah Sukan Untuk Semua Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Bukit Jalil hari ini.

Pengiktirafan itu diharap dapat mengangkat para penerima sebagai ikon sukan yang mampu memberi inspirasi kepada rakyat untuk terus mengamalkan gaya hidup aktif.

KBS turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik dan penaja korporat atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda sukan negara.

Antara organisasi yang menerima penghargaan ialah Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd, Pos Malaysia, Decathlon Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.

Anugerah Sukan untuk Semua yang diperkenalkan semula pada 2025 itu bertujuan memupuk persaingan sihat dalam kalangan penggerak sukan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.