Karnival Pilah Sejahtera himpun belia, asah bakat dan kemahiran

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyempurnakan sepak mula sebagai simbolik aktiviti sukan sempena Karnival Kuala Pilah Sejahtera di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, hari ini / Foto BERNAMA

KUALA PILAH, 13 Jun – Penganjuran Karnival Pilah Sejahtera dan Program e-Sukan MADANI Legend dilihat mampu menjadi platform memperkasa generasi muda melalui penglibatan dalam aktiviti sukan, e-sukan serta pembangunan kemahiran insaniah dan digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menggalakkan gaya hidup sihat dan membuka ruang kepada belia mengembangkan bakat serta kemahiran insaniah.
  • Potensi e-sukan semakin menyerlah dan belia berpeluang bersaing di peringkat antarabangsa.
  • Karnival menghimpunkan kira-kira 350 peserta dengan J-KOM bertindak sebagai urus setia program.
  • Inisiatif ini selari dengan komitmen J-KOM dan kementerian memperkasakan belia melalui aktiviti inklusif berteraskan teknologi.

Menurut Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Zon Selatan, Muhammad Asri Ibrahim, program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membuka ruang kepada golongan belia mengembangkan bakat dan potensi mereka.

“Kita melihat potensi anak muda terutamanya dalam program-program sukan, sama ada bentuk sukan konvensional ataupun sukan yang barulah seperti e-sport.

Potensinya ada dan anak-anak muda sekarang ini dah mula menunjukkan bakat yang bukan setakat bertanding dalam negara, malah mampu menjadi juara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Karnival Pilah Sejahtera berjaya menghimpunkan kira-kira 350 peserta dengan J-KOM bertindak sebagai urus setia program.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut hadir menyantuni peserta pada kedua-dua program berkenaan dan membuat sepak mula sebagai simbolik mulanya aktiviti sukan sempena karnival tersebut yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, hari ini.

Sementara itu, Program e-Sukan MADANI Legend yang diadakan di Balairaya Kampung Seri Pilah memberi tumpuan kepada pembangunan bakat anak muda dalam bidang e-sukan yang semakin berkembang.

Muhammad Asri berkata, potensi e-sukan dalam kalangan generasi muda semakin menyerlah dan wajar diberikan perhatian serta sokongan bagi melahirkan lebih ramai bakat yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, penganjuran program seperti itu selari dengan usaha memperkukuh kemahiran digital dalam kalangan belia serta menyediakan platform yang positif untuk mereka meneroka peluang dalam industri e-sukan.

Penganjuran kedua-dua program itu mencerminkan komitmen berterusan J-KOM dan Kementerian Komunikasi dalam mendekati komuniti serta memperkasa generasi muda melalui aktiviti yang sihat, inklusif dan berteraskan teknologi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.