
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM) mengorak langkah strategik bagi memperkasa barisan kejurulatihan skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027, yang bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah.
- Melantik dua jurulatih bertaraf Olimpik dari Jepun untuk menjalankan penilaian awal kekuatan dan kelemahan pasukan.
- Menganjurkan seminar hakim bertaraf Olimpik dan kursus lima hari bagi melatih serta memberi lesen kepada hakim.
- Sasaran sekurang-kurangnya lima pingat emas pada edisi 2027 serta persiapan sistematik termasuk penyertaan Grand Prix Junior dan kejohanan antarabangsa.
Presiden ISAM Muhammad Fadzli Johan berkata, pihaknya sudah melantik beberapa jurulatih bertaraf Olimpik dalam usaha memperkukuh prestasi atlet serta menebus kegagalan meraih lebih daripada satu pingat emas pada edisi lalu di Thailand.
Pada edisi tersebut, atlet negara Fang Ze Zeng menyumbang satu-satunya pingat emas buat kem luncur ais negara menerusi acara bebas yang berlangsung di Imperial World Samrong, Samut Prakan.
“Bulan Mac ini kami menandatangani kontrak dengan dua jurulatih bertaraf Olimpik dari Jepun yang akan hadir untuk menjalankan penilaian awal. Fasa pertama adalah menilai kekuatan dan kelemahan pasukan serta mengenal pasti peluang yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata satu seminar melibatkan barisan hakim bertaraf Olimpik turut akan diadakan pada April bagi meningkatkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman, selain membantu menentukan hala tuju pembangunan atlet serta kejurulatihan menjelang temasya tersebut.
“Mereka akan menjalani kursus selama lima hari di Malaysia bagi mendapatkan lesen sebagai hakim,” katanya.
Tambahnya, Muhammad Fadzli, ISAM menyasarkan sekurang-kurangnya lima pingat emas pada edisi 2027 bagi membantu Malaysia muncul juara keseluruhan temasya itu.
Sementara itu beliau berkata, ISAM telah merangka pelan persediaan yang sistematik, termasuk penyertaan dalam tiga kejohanan Junior Grand Prix iaitu di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Riga, Latvia; dan Thailand.
“Bermula Ogos depan, pertandingan-pertandingan ini akan menjadi penanda aras awal prestasi atlet. Selepas itu, kita akan ke Australia untuk acara short-track speed skating sebelum meneruskan saingan ke peringkat Piala Dunia sehingga Februari,” katanya.
Muhammad Fadzli berkata, ISAM dijangka mula mengenal pasti atlet yang berpotensi untuk digilap bagi menghadapi Sukan SEA 2027 seawal Februari tahun hadapan.-BERNAMA