
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Skuad Harimau Malaya terus menerima tamparan hebat apabila terkeluar daripada kelompok 130 dunia susulan hukuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
- Kemaskini FIFA menyaksikan Malaysia merudum 14 anak tangga ke kedudukan ke-135 dengan 1,095.90 mata.
- Pembatalan dua kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam dikira kekalahan 0-3, menjejaskan pungutan mata ranking.
- Malaysia akan berdepan Vietnam 31 Mac; Vietnam sudah layak, Malaysia terlepas peluang selepas enam mata ditolak.
Kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)menyaksikan pasukan kendalian Peter Cklamovski itu merudum 14 anak tangga ke kedudukan ke-135 dunia dengan kutipan 1095.90 mata.
Penurunan mendadak itu berpunca daripada pembatalan dua kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam, yang kini dikira sebagai kekalahan 0-3, sekali gus memberi kesan besar terhadap pungutan mata ranking.
Situasi itu antara yang terburuk pernah dialami skuad negara sejak 2006 apabila jatuh 19 anak tangga, selain menjadi tamparan berganda selepas sebelum ini sudah merosot lima tangga ke kedudukan ke-121 dunia.
Kemerosotan ranking turut dipengaruhi keputusan FIFA yang membatalkan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.
Namun, masih ada ruang untuk menebus maruah apabila Harimau Malaya dijadual berdepan Vietnam dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Ninh Binh, pada 31 Mac ini.
Vietnam telah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir selepas mengumpul 15 mata, manakala Malaysia terlepas peluang layak buat kali kedua berturut-turut selepas enam mata ditolak.
Sebagai persiapan, skuad kebangsaan akan menjalani latihan pusat bermula hari ini di Kuala Lumpur sebelum meneruskan kem latihan di Bangkok dari 24 hingga 27 Mac, diikuti perjalanan ke Vietnam pada 28 Mac.