Disiplin pemain kunci kejayaan JDT benam Brunei DPMM 10-0

ISKANDAR PUTERI, 26 Oktober -Kemenangan 10-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Brunei DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi bukti kematangan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan para pemain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan 10-0 JDT menunjukkan disiplin dan kematangan pemain sepanjang perlawanan.
  • Xisco Munoz tekankan pentingnya pemahaman proses permainan dan intensiti 90 minit.
  • Kejayaan itu jadi suntikan semangat menjelang aksi timbal balik Piala FA minggu depan.
  • Brunei DPMM FC kecewa kerana prestasi tidak konsisten dan pengaruh kad merah mengubah tempo.
  • JDT kekal tanpa kalah dan kukuh di puncak Liga Super.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz, menyifatkan, kejayaan besar itu tidak datang mudah memandangkan pasukan sedang berdepan jadual perlawanan yang padat.

“Kemenangan adalah satu kemestian. Paling penting, para pemain memahami proses permainan.

Kami perlu beraksi dengan karakter dan intensiti tinggi sepanjang 90 minit. Tahniah kepada para pemain, mereka beraksi dengan sangat baik,” katanya.

Munoz turut menyifatkan kemenangan besar tersebut sebagai suntikan semangat menjelang aksi timbal balik Piala FA yang bakal berlangsung minggu depan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, James McAllister, meluahkan kekecewaan terhadap prestasi anak buahnya yang dianggap tidak konsisten sepanjang perlawanan.

Menurutnya, kekurangan pemain selepas insiden kad merah mengubah tempo permainan pasukan.

“Saya rasa hanya lima atau enam pemain benar-benar memberikan segalanya. Namun kami perlukan sepuluh atau sebelas pemain yang beraksi dengan tahap sama.

Apabila turun ke padang, semua pemain mesti tampil cemerlang dan luar biasa. Hari ini, ia sukar untuk diterima,” katanya.

McAllister bagaimanapun memuji keberanian pemainnya yang tetap memberi tentangan di awal permainan sebelum hilang fokus pada separuh masa kedua.

Perlawanan malam tadi menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dan terus kukuh di puncak Liga Super.