Dave Rennie dilantik ketua jurulatih baharu All Blacks

Ketua jurulatih baharu All Blacks, Dave Rennie/ AFP

WELLINGTON, 4 Mac – Pasukan Ragbi New Zealand All Blacks mengumumkan pelantikan Dave Rennie sebagai ketua jurulatih baharu pasukan berkenaan pada Rabu, menggantikan Scott Robertson yang dipecat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dave Rennie dilantik ketua jurulatih All Blacks menggantikan Scott Robertson selepas prestasi pasukan dipersoalkan.
  • Rennie digambarkan sebagai jurulatih kelas dunia yang mampu bina persekitaran berprestasi tinggi dan menampilkan gaya permainan identiti New Zealand.
  • Pengalaman Rennie termasuk kejayaan bersama Waikato Chiefs, latihan di Glasgow dan Wallabies, serta kerja kelab di Jepun.

Rennie, 62, yang pernah mengendalikan pasukan Wallabies Australia, mengambil alih skuad yang berdepan tekanan selepas prestasi buruk serta khabar angin mengenai ketidakpuasan hati para pemain terhadap jurulatih.

Pengerusi Kesatuan Ragbi New Zealand , David Kirk, menyifatkan Rennie sebagai jurulatih bertaraf dunia.

“Beliau seorang jurulatih kelas dunia yang secara konsisten membuktikan kemampuan membina persekitaran berprestasi tinggi dan mencatat kemenangan.

“Dave memahami apa maknanya melatih All Blacks dan menampilkan gaya permainan yang mencerminkan identiti kami sebagai rakyat New Zealand,” katanya.

Rennie mencipta nama apabila membawa Waikato Chiefs menjuarai Super Rugby pada 2012 dan 2013, iaitu dalam dua musim pertamanya bersama pasukan itu.

Selepas meninggalkan Chiefs pada 2017, beliau berhijrah ke luar negara dengan melatih Glasgow Warriors sebelum mengambil alih pasukan kebangsaan Australia, Wallabies.

Namun, Rennie dipecat sebelum Piala Dunia Ragbi 2023 dan digantikan oleh Eddie Jones.

Beliau kemudian meneruskan kerjaya dalam liga kelab di Jepun.

“Melatih All Blacks adalah satu penghormatan luar biasa. Saya amat berbangga diberi kepercayaan memikul tanggungjawab ini dan memahami sepenuhnya jangkaan yang datang bersama peranan tersebut.

“Saya jelas dengan cara permainan yang mahu diterapkan dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemain, barisan pengurusan serta komuniti ragbi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Robertson dipecat pada Januari lalu walaupun mencatat 20 kemenangan daripada 27 perlawanan, prestasi yang dianggap belum memenuhi standard tinggi kuasa besar ragbi dunia itu. – AFP