Cabaran perseorangan lelaki negara berakhir awal di Terbuka Malaysia 2026

Pemain lelaki negara, Leong Jun Hao, tewas kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie, 18-21, 11-21, dalam aksi kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Petronas 2026 di Stadium Axiata Arena di sini hari ini/ Foto BERNAMA

BUKIT JALIL, 8 Januari – Cabaran pemain perseorangan lelaki negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 berakhir lebih awal apabila wakil terakhir negara, Leong Jun Hao, tersingkir di pusingan kedua di Axiata Arena, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Leong Jun Hao tersingkir pusingan kedua selepas tewas kepada Jonatan Christie 18-21, 11-21.
  • Jun Hao akui telah beri segala kemampuan namun lawan bermain dengan kualiti lebih tinggi.
  • Sokongan penyokong tempatan tidak cukup untuk mengubah keputusan dan Jun Hao kecewa.
  • Kekalahan itu menamatkan cabaran perseorangan lelaki Malaysia awal sekali lagi pada kejohanan ini.

Pemain ranking ke-28 dunia itu tewas kepada pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie, dengan keputusan 18-21, 11-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 55 minit.

Jun Hao, yang turun sebagai pemain bukan pilihan, mengakui beliau telah memberikan sepenuh kemampuan, namun mengakui kualiti permainan lawan menjadi pemisah utama dalam perlawanan tersebut.

“Saya rasa saya sudah melakukan apa yang saya mampu hari ini, tetapi Jonatan bermain jauh lebih baik dan menghasilkan pukulan yang lebih berkualiti,” katanya selepas perlawanan.

Beliau berkata sokongan padu penyokong tempatan memberi suntikan semangat, namun gagal dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengubah keputusan perlawanan.

“Sudah tentu saya kecewa kerana saya sebenarnya mempunyai peluang dan memang mahu menang di sini, tetapi akhirnya saya tewas,” katanya.

Mengulas prestasinya, Jun Hao percaya tahap kecergasannya berada pada tahap lebih baik berbanding sebelum ini, namun mengakui masih perlu memperbaiki aspek kesabaran dan pemilihan serangan.

Kekalahan itu menyaksikan kempen perseorangan lelaki negara di kejohanan berprestij tersebut berakhir lebih awal sekali lagi pada edisi kali ini.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia adalah menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei pada edisi 2018, yang turut menyaksikan beliau muncul juara.

Pada Selasa lalu, seorang lagi pemain negara, Lee Zii Jia, tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain India, Ayush Shetty, 12-21, 17-21 dalam masa 39 minit.