
KUALA LUMPUR, 29 Januari -Kejayaan atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pentas kebangsaan dan antarabangsa bukan sahaja mengharumkan nama pasukan keselamatan itu, malah turut melonjakkan imej dan martabat negara di mata dunia.
- Atlet PDRM mengharumkan nama pasukan dan menaikkan imej negara di pentas antarabangsa.
- Sumbangan atlet PDRM bantu Malaysia raih kejayaan besar di Sukan SEA Thailand 2025.
- Pencapaian individu PDRM di peringkat dunia tunjukkan kualiti dan dedikasi tinggi atlet.
- PDRM komited sokong pembangunan sukan sebagai platform melahirkan duta negara dan inspirasi generasi muda.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pencapaian cemerlang yang diraih atlet PDRM membuktikan keupayaan warga pasukan itu untuk mengimbangi tuntutan tugas kepolisan dengan kecemerlangan dalam bidang sukan.
“Antara yang patut dibanggakan ialah sumbangan atlet PDRM yang telah membantu Malaysia meraih kedudukan keempat keseluruhan di Sukan SEA Thailand 2025 dengan 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa.
“Lebih membanggakan, atlet PDRM sendiri telah menyumbang empat pingat emas menerusi acara hoki dan kabaddi, satu pingat perak dalam hoki dalam dewan, serta tujuh pingat gangsa dalam judo, sepak takraw, kabaddi dan teqball,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan PDRM 2023–2025 pada Rabu, malam tadi.
Majlis tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada atlet dan warga PDRM atas dedikasi serta komitmen tinggi mereka dalam bidang sukan.
Selain kejayaan berpasukan, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa atlet individu PDRM di peringkat dunia, antaranya kejayaan Sarjan Mejar Emma Firyana Saroji menjuarai perseorangan wanita World Cup Lawn Bowls 2025, serta pengiktirafan Konstabel Siti Zalina Ahmad sebagai wakil pertama Malaysia dan Asia dalam World Bowls Hall of Fame 2025.
Menurut Datuk Seri Mohd Khalid, setiap kejayaan yang diraih adalah hasil disiplin latihan, pengorbanan masa serta semangat juang tinggi yang mencerminkan nilai teras seorang atlet PDRM.
“Pencapaian ini bukan sahaja menjadi kebanggaan pasukan, malah mengangkat nama PDRM dan negara ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau menegaskan, PDRM akan terus komited menyokong pembangunan sukan sebagai platform melahirkan atlet berkaliber yang mampu menjadi duta negara serta inspirasi kepada generasi akan datang.