
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, masih menunggu laporan perubatan tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026, hari ini.
- Mohammad Syahir mengalami ketegangan otot dan tahap kecergasannya belum berada pada tahap terbaik.
- Syahir cedera pada penghujung set pertama dan digantikan oleh Zarif Marican.
- Malaysia mara ke separuh akhir selepas mengecewakan Jepun 2-0.
- Ahmad Jais mengakui setiap lawan ada kekuatan dan pasukan perlu bersedia.
Beliau berkata, Mohammad Syahir mengalami ketegangan otot dan tahap kecergasannya masih belum berada pada tahap terbaik ketika ini.
“Buat masa ini, kita masih menunggu laporan daripada pasukan perubatan untuk menilai sejauh mana kecederaan yang dialami Syahir,” katanya.
Pada aksi suku akhir semalam, Mohammad Syahir mengalami kecederaan pada penghujung set pertama sebelum digantikan dengan Zarif Marican Ibrahim Marican.
Malaysia bagaimanapun tetap mara ke separuh akhir selepas mengecewakan Jepun 2-0.
Dalam pada itu, Ahmad Jais mengakui mana-mana pasukan yang bakal dihadapi di separuh akhir mempunyai kekuatan tersendiri dan skuad negara perlu bersedia menghadapi segala cabaran.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026, di sini.