Maritim Malaysia pindahkan pesakit kritikal dari Langkawi ke Kuala Perlis

Operasi MEDEVAC dari Langkawi ke Kuala Perlis / Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

LANGKAWI, 29 November – Maritim Malaysia melaksanakan operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) bagi membawa seorang lelaki berusia 48 tahun yang mengalami pendarahan akut di bahagian otak dari Langkawi ke Kuala Perlis, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi MEDEVAC dilaksanakan susulan permohonan bantuan Hospital Sultanah Maliha bagi membolehkan pesakit menerima rawatan segera di hospital pakar.
  • Bot Penyelamat 5 membawa pesakit, tiga petugas perubatan dan seorang waris dari Jeti Operasi Maritim Langkawi ke Jeti Feri Kuala Perlis.
  • Pesakit akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut.
  • Petugas perubatan mengiringi pesakit sepanjang perjalanan bagi memantau kesihatannya dan memberikan rawatan kecemasan jika diperlukan.

Operasi itu dilaksanakan menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis susulan permohonan bantuan daripada Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera di hospital pakar.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pesakit berkenaan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemantauan rapi serta rawatan lanjut.

“Bot Penyelamat 5 telah digerakkan bagi membawa pesakit bersama tiga petugas perubatan dan seorang waris dari Jeti Operasi Maritim, Langkawi ke Jeti Feri Kuala Perlis.

“Pesakit kemudiannya akan meneruskan perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sepanjang perjalanan, pesakit diiringi petugas perubatan bagi memastikan keadaan kesihatannya dipantau secara berterusan serta rawatan kecemasan dapat diberikan sekiranya diperlukan.

Keupayaan Maritim Malaysia menggerakkan aset laut bagi operasi MEDEVAC mencerminkan kesiapsiagaan agensi itu dalam membantu menangani kecemasan, khususnya melibatkan penduduk pulau yang memerlukan akses segera kepada kemudahan perubatan di tanah besar.

Selain menjalankan penguatkuasaan undang-undang di laut serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia turut komited memberikan bantuan kecemasan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.