
HULU SELANGOR, 29 November – Tat Bengkulu, kuih tradisional masyarakat berketurunan Bengkulu di Hulu Selangor, kini diiktiraf sebagai makanan warisan Selangor, sekali gus memperkukuh usaha memelihara identiti dan khazanah budaya negeri.
- Makanan tradisional mencerminkan sejarah, cara hidup dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun.
- Tat Bengkulu wajar dipelihara dan diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
- Edaran 2,500 set Tat Bengkulu di festival menjadi platform meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan makanan warisan.
Pengiktirafan itu bukan sekadar mengangkat keunikan makanan tradisional, malah membuka ruang untuk warisan kulinari masyarakat tempatan diperkenalkan ke peringkat lebih luas termasuk antarabangsa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, makanan tradisional bukan sekadar juadah, sebaliknya mencerminkan sejarah, cara hidup dan identiti masyarakat yang diwarisi sejak turun-temurun.
“Kekayaan warisan makanan seperti Tat Bengkulu perlu dipelihara dan dikembangkan agar tidak hilang ditelan arus pembangunan,” katanya.
Berucap merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor 2026 di Dataran Warisan, beliau berkata, keunikan makanan tradisional negeri itu wajar diketengahkan ke peringkat antarabangsa dan tidak terhad kepada pameran tempatan.
Malah, beliau berkongsi pengalaman membawa Tat Bengkulu ke India menerusi program keusahawanan ketika menyandang jawatan EXCO sekitar 2017 hingga 2018.
“Hulu Selangor antara daerah yang kaya dengan kepelbagaian budaya hasil gabungan masyarakat Minangkabau, Mandailing, Rawa, Bengkulu dan Bugis yang hidup secara harmoni sejak ratusan tahun.
“Keunikan makanan tradisional turut menggambarkan sejarah dan kehidupan masyarakat, termasuk burasak yang menjadi bekalan masyarakat Bugis ketika belayar.
“Kemajuan negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disokong kekuatan identiti budaya,” katanya lagi.
Festival Makanan Warisan Selangor yang memasuki penganjuran kali kelima turut mencipta pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi edaran 2,500 set Tat Bengkulu yang mengandungi keseluruhan 12,500 biji kuih tradisional berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pengiktirafan rekod bukan matlamat utama, sebaliknya menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara dan mengembangkan makanan warisan negeri.