Jabatan Pencen UK sahkan alami serangan siber

Beberapa perkhidmatan DWP terpaksa dihentikan sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga/Foto AFP

LONDON, 29 November – Jabatan Kerja dan Pencen (DWP) Britain mengesahkan insiden siber yang menyebabkan beberapa perkhidmatannya tergendala adalah berpunca daripada serangan yang disengajakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • DWP mengesan cubaan mendapatkan akses tanpa kebenaran ke dalam sistemnya.
  • Pasukan jabatan bersama pakar siber dan agensi kerajaan sedang menyiasat punca pencerobohan.
  • Beberapa perkhidmatan dihentikan sementara sebagai langkah berjaga-jaga, dan sebahagiannya masih belum pulih setakat Sabtu.
  • Pembayaran kebajikan dan pencen tidak terjejas, manakala tiada bukti maklumat peribadi terjejas atau bocor.

Jurucakap jabatan berkenaan memaklumkan pihaknya mengesan cubaan untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran ke dalam sistem dalam insiden yang dikesan pada lewat Khamis lalu.

“Pasukan kami bersama pakar siber sedang meneruskan siasatan berhubung serangan siber ke atas sistem DWP.

“Bersama Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan dan Pusat Penyelarasan Siber Kerajaan, kami sedang berusaha mengenal pasti punca cubaan pencerobohan sistem tersebut,” kata jurucakap.

Susulan insiden berkenaan, beberapa perkhidmatan DWP terpaksa dihentikan sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga, dengan sebahagian daripadanya masih belum pulih setakat Sabtu.

Jabatan itu bagaimanapun memberi jaminan bahawa pembayaran kebajikan dan pencen tidak terjejas, manakala para pegawai memaklumkan tiada bukti menunjukkan sebarang butiran peribadi telah terjejas atau bocor.

Kejadian terbabit berlaku di tengah-tengah peningkatan serangan dan ancaman siber di seluruh dunia.

Sektor perniagaan dan kerajaan berdepan siri kegagalan teknologi sejak beberapa minggu kebelakangan ini yang turut melumpuhkan sistem dalam talian organisasi gergasi seperti Microsoft dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat.

Minggu ini, perkhidmatan risikan domestik Britain, MI5 dan Kementerian Pertahanan turut memberi amaran kepada pembekal ketenteraan UK ke Ukraine mengenai peningkatan cubaan sabotaj oleh Rusia.

Kerajaan UK menasihatkan syarikat terlibat mengenai langkah mengurangkan pendedahan risiko, mengesan serta melaporkan aktiviti intipan musuh selain meminimumkan kesan serangan.

Pada Ogos lalu, satu serangan siber menyasarkan tiga lapangan terbang Britain di bawah kendalian Manchester Airports Group hingga mengakibatkan kecurian data peribadi membabitkan 8.7 juta pelanggan.

Insiden berasingan di negara itu tahun lalu turut menjejaskan operasi pengeluar automotif Jaguar Land Rover, selain serangan ke atas peruncit terkemuka seperti Marks & Spencer, gedung beli-belah mewah Harrods serta rangkaian pasar raya Co-op.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.